Selangorkini
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

REHDA sambut baik pelaksanaan Rumah Idaman

OLEH AFEEQA AFEERA

KELANA JAYA, 4 APRIL: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor menyambut baik pelaksanaan Rumah Idaman Rakyat Selangor (Idaman) yang membolehkan rakyat memiliki kediaman dengan harga mampu milik.

Pengerusinya, Zulkifly Garib berkata, program itu juga memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat terutama di Selangor untuk memiliki rumah selain Rumah Selangorku.

“Secara dasar, kita menyambut baik skim perumahan selain Rumah Selangorku dan menyarankan kepada Kerajaan Negeri supaya menyediakan lebih banyak pilihan untuk kediaman mampu milik.

“Bagaimanapun, REHDA belum memiliki butiran terperinci dan serahkan kepada Kerajaan Negeri untuk mengumumkannya,” katanya dalam sidang media di Wisma REHDA, di sini, semalam.

Beliau turut mengesyorkan kepada pihak berkuasa dan bank untuk mencari jalan supaya bakal pembeli lebih mudah mendapat pinjaman.

Zulkifly berkata, isu perumahan sering mendapat perhatian dan memiliki permintaan tinggi, namun masalahnya berkisar kepada pinjaman daripada bank.

“Jika pinjaman bank terlalu sedikit, pembeli tidak mampu untuk membayar wang pendahuluan. Justeru, REHDA mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk berbincang dengan stakeholder, pihak berkuasa serta bank untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan lebih aktif untuk menyediakan rumah mampu milik, di setiap negeri.

“Baik Kerajaan Negeri juga GLC perlu memainkan peranan supaya kita tidak mengharapkan pemaju swasta sahaja,” katanya.

Rumah Idaman menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Setiap unit Rumah Idaman dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.

Majlis pelancaran program kediaman istimewa itu akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar di Kajang 2, Mukim Bandar Batu 18, Semenyih, pada 6 April ini.

 


Pengarang :