Urusan penukaran status akaun kanak-kanak ke akaun dewasa perlu dibuat sebelum 1 Mei 2022
NASIONAL

TH akan lingkup jika terus ditadbir kerajaan lama

SEREMBAN, 8 APRIL: Tabung Haji (TH) akan terus mengalami kerugian teruk jika ia masih di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), isu kelemahan tadbir urus kewangan yang membelenggu TH sebelum ini sudah dan sedang diatasi.

Justeru, beliau mengingatkan pengundi supaya jangan termakan dakyah dan fitnah daripada pembangkang kononnya TH diuruskan DAP.

Beliau berkata demikian dalam ceramah PH di Kampung Mambaxu di sini, malam ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Hadir sama, calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan, juga menegaskan bahawa di bawah kerajaan PAKATAN, bukan sahaja orang Melayu dibela bahkan semua kaum di negara ini turut terbela dan tuduhan pembangkang kononnya keistimewaan yang dinikmati kaum Melayu akan terhakis adalah tidak benar.

Beliau berkata UMNO dan PAS memainkan sentimen perkauman untuk menarik orang Melayu dengan mendakwa PH dikuasai oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, Mohamad menyeru pengundi DUN Rantau khususnya orang Melayu tidak mempercayai momokkan bahawa nasib mereka tidak terbela di bawah PH dan menyokong calon PAKATAN bagi kelestarian kehidupan dan kawasan berkenaan.

PRK DUN Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. -BERNAMA


Pengarang :