Selangorkini
NASIONAL

Tiada keputusan isu pampasan kawasan tadahan air

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Kerajaan persekutuan tidak membuat sebarang keputusan berhubung pampasan yang diminta kerajaan negeri bagi kawasan hutan simpan dan hutan rezab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, semua kerajaan negeri mahukan pampasan daripada kerajaan persekutuan berhubung perkara itu.

“Ada banyak cara lain untuk menangani perkara itu, khususnya daripada segi industri perhutanan. Kami juga mempunyai rancangan untuk perladangan hutan dan industri hutan untuk terus menggunakan hutan sebagai ekonomi baharu.

“Kami dalam program penanaman semula hutan yang besar dan saya rasa kerajaan negeri perlu mengambil manfaat daripada program ini untuk melonjakkan ekonomi.

“Ada model perniagaan yang sangat menguntungkan yang digunakan untuk masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Bumi di Taman Tugu, di sini hari ini.

Dr Xavier berkata demikian bagi mengulas rancangan kerajaan Pahang yang ingin mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutusn untuk mendapatkan pampasan lebih RM17 bilion bagi kawasan hutan simpan dan hutan rezab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air untuk mensejahterakan rakyat luar dari Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia membabitkan kawasan seluas satu juta hektar yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos lepas yang tinggi.

Wan Rosdy dilaporkan berkata kerajaan negeri kerugian hasil pembalakan, mineral, premium tanah sawit dan cukai tanah melibatkan kawasan seluas 33,000 hektar berikutan Empangan Kelau ‘dikorbankan’ untuk membekalkan air menerusi projek pemindahan air mentah Pahang Selangor (PPAMPS). -BERNAMA


Pengarang :