BERITA UTAMASELANGOR

Tragedi bas pekerja: Korban meningkat kepada 12 

SERDANG, 8 APR: Angka korban nahas bas pekerja di jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), meningkat kepada 12 orang setakat lewat petang tadi.

Perkembangan itu disahkan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, apabila mangsa seorang wanita dikenali sebagai Fitri Nurjahari,21 asal Indonesia, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya pada jam 4.30 petang tadi, lapor portal Berita Harian.

Mangsa sebelum ini dilaporkan kritikal selepas bas dinaiki bersama 42 penumpang lain yang kebanyakannya warga asing terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerja di MAS Kargo KLIA.

Setakat jam 5.45 petang tadi, mangsa yang meninggal terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita.

Daripada jumlah itu, empat wanita warga Indonesia, lima lelaki Bangladesh, dua lelaki Nepal dan seorang lelaki rakyat tempatan yang juga pemandu bas terbabit.

Dalam nahas itu, sembilan orang termasuk pemandu bas kilang berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Putrajaya dan kematian Fitri menjadikan jumlah korban keseluruhan 12 orang.

Terdahulu, kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu berlaku apabila bas berkenaan dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 10 meter.

-Info Grafik: BERNAMA

 


Pengarang :