KUALA LUMPUR, 28 Mei — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan Pengurniaan Ampun Kurnia Aidilfitri kepada Ketua Pembantu Tadbir Istana Negara Mohd Asrizal Asraf Sha’ari (depan, kanan) ketika berkenan berangkat pada Majlis Berbuka Puasa bersama Warga Istana Negara di Istana Negara hari ini. Turut berangkat sama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Agong berkenan berbuka puasa bersama kakitangan istana

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama kakitangan istana di Istana Negara di sini, malam ini.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong pada kira-kira pukul 7 petang disambut oleh pegawai-pegawai kanan istana.

Turut hadir kerabat-kerabat diraja Pahang dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Seramai kira-kira 550 warga istana hadir ke majlis itu termasuk anggota keselamatan istana.

Pada majlis itu juga, Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Pengurniaan Ampun Kurnia Aidilfitri kepada 30 orang wakil anggota Istana Negara dan turut memberi sumbangan kepada lima orang wakil peniaga Bazar Jalan Masjid India yang terlibat dalam insiden kebakaran pada 21 Mei lepas.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih serta bertahlil bersama-sama hadirin selepas majlis berbuka puasa itu.

Terdahulu, Tunku Azizah Aminah berbesar hati berkongsi air tangannya memasak bubur lambuk sempena Program Memasak Bubur Lambuk bersama warga Istana Negara pada sebelah petang.

Bubur lambuk yang dimasak Raja Permaisuri Agong itu kemudiannya diedarkan kepada seluruh kakitangan Istana Negara.

– BERNAMA


Pengarang :