NASIONAL

Anggota PGA tahan lelaki cuba beri sogokan

PASIR MAS, 20 Mei: Seorang lelaki ditahan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) selepas cuba menyogok RM1,600 kepada anggota bertugas bagi membebaskan dirinya bersama tiga lagi rakan dipercayai terbabit dalam penyeludupan kenderaan.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Ramly Pancho ketika ditemui berkata, tiga lagi individu berkenaan adalah seorang lelaki dan dua perempuan yang kesemuanya berusia 30-an.

Pada awalnya kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Chempaka, Tanah Merah pada 6.15 pagi, 17 Mei lepas.

“Sebenarnya pihak kami mendapat maklumat mengenai penyeludupan kenderaan sebelum bertindak menyerbu rumah berkenaan.

“Ketika serbuan kami menemui beberapa buah kenderaan termasuk Toyota Lexus, Perodua MyV, Perodua Viva dan sebuah motosikal. Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua kenderaan itu adalah diklon,” katanya.

Ramly berkata susulan serbuan itu seorang daripada individu berasal dari negara jiran bertindak menawarkan sogokan agar kesemua mereka dilepaskan.

Walaupun sudah tiga kali amaran disuarakan oleh anggota berpangkat Koperal yang bertugas, lelaki itu tetap berkeras mahu memberi 16 keping wang RM100 berjumlah RM1,600 kesemuanya sebagai dorongan supaya dilepaskan.

“Selepas amaran diberikan namun tidak diendahkan, anggota PGA9 telah membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan kerana cuba membuat sogokan.

“Kita menyerahkan lelaki terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan manakala tiga lagi turut ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kumpulan empat individu berkenaan terlibat dalam sindiket mengklon kenderaan dari Singapura sebelum dijual semula di sini. -BERNAMA


Pengarang :