NASIONAL

APMM Pulau Pinang tahan bot langgar syarat lesen

GEORGE TOWN, 20 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 kerana menangkap ikan di kawasan Zon A di kedudukan kira-kira dua batu nautika (kira-kira 3.7 km) dari barat Pulau Rimau, dekat sini awal pagi ini.

Pengarah APMMM Pulau Pinang Kapten Hamizan Harun berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi, pemilik bot nelayan berkenaan sanggup menunda dalam gelap demi mengaut keuntungan berganda di kawasan larangan sebelum ditahan APMM.

“Hasil pemeriksaan, tiga lelaki masing-masing seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan berusia 26 hingga 34 tahun berada dalam bot itu dan mereka telah melanggar syarat sah lesen,” katanya di sini hari ini.

Katanya bot itu bersama satu gulung pukat tunda, dua besi tunda serta hasil tangkapan kira-kira 200 kilogram ikan campur dirampas.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika (14.8 km) dari daratan terdekat. -BERNAMA


Pengarang :