NASIONAL

Anjakan baharu kaedah pendidikan elak gejala ekstremisme

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa supaya suatu anjakan baharu dilaksanakan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, Moral, serta Kewarganegaraan Global bagi mengelak gejala ekstremisme.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, seruan terbabit ekoran kebimbangan pihaknya terhadap polemik perpaduan dan kurang kefahaman berhubung sensitiviti antara agama serta komuniti, di negara ini.

Katanya, ABIM bimbang terhadap barah irhab al fikr (terrorisme pemikiran), iaitu suatu sikap mendera, menyakiti dan menghukum pemikiran mereka yang berbeza pandangan dengan kelompoknya walaupun perbezaan itu masih berada dalam batas dibenarkan syara’.

Malah, jika berterusan, gejala terbabit akan menyemarakkan lagi polarisasi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini, katanya.

“Bagi memenuhi keperluan sosio-ekonomi masyarakat mendesak, pendekatan pedagogi pendidikan secara umumnya perlu memberi penekanan penguasaan pelbagai nilai kemahiran aras tinggi.

“Antara nilainya adalah seperti pemikiran kreatif dan kritikal, kemahiran berkolaboratif, bekerjasama, kemahiran menyelesaikan masalah kompleks, kemahiran mengurus emosi dan kemahiran bersosial.

“Pembinaan watak dan kemahiran ini amat penting untuk merungkai pelbagai polemik yang membelenggu perkembangan sosio-ekonomi umat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Raimi berkata, mempelajari asas pelbagai agama dan budaya, terutama di peringkat Asia Tenggara mampu membentuk kefahaman dan toleransi, serta memaknakan nilai rahmatan Lil alamin.

“ABIM sekali lagi menegaskan kesan daripada sentimen kebencian berakarkan ekstremisme dan sikap ghuluw ini akan hanya mengakibatkan masyarakat kita terus ketinggalan lantaran gagal memanfaatkan peluang untuk bangkit menjadi bangsa Malaysia yang dihormati.

“Justeru anjakan baharu dalam memperkukuh kefahaman Pendidikan Islam, Moral, dan Kewarganegaraan Global amat perlu sebagai jalan terbaik mencari titik penyelesaian kepada kebimbangan ini,” katanya.


Pengarang :