NASIONAL

Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir dagangan pagi

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir dagangan pagi susulan kurangnya tekanan ke atas saham teknologi selepas pengumuman Amerika Syarikat untuk menarik balik secara sementara sekatan perdagangan ke atas Huawei Technologies China, minggu lepas.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.96 mata kepada 1,609.32.

Indeks penanda aras dibuka 3.38 mata lebih tinggi pada 1,608.74.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 481 berbanding 183, manakala 289 kaunter tidak berubah, 959 tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 920.43 juta bernilai RM590.28 juta.

Seorang peniaga berkata perkembangan terbaru itu melegakan saham teknologi global, selepas tindakan keras AS ke atas saham pengeluar cip utama Huawei di Eropah dan di Wall Street merosot ekoran kebimbangan bhawa perang perdagangan tersebut semakin menular.

“Jabatan Perdagangan AS akan membenarkan Huawei Technologies membeli barangan buatan Amerika untuk mengekalkan rangkaian sedia ada dan mengemas kini telefon bimbit sedia ada, langkah yang bertujuan untuk meminimumkan gangguan kepada pelanggan syarikat telekomunikasi itu di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata jabatan itu akan menilai sama ada untuk melanjutkan pengecualian melebihi 90 hari.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.99, manakala CIMB tidak berubah pada RM5.16.

Public Bank menambah 14 sen kepada RM22.56, Petronas Chemicals meningkat dua sen kepada RM8.82 dan TNB menambah enam sen kepada RM11.64.

Bagi saham aktif, Bumi Armada dan KNM masing-masing susut setengah sen kepada 19 sen dan 18.5 sen, dan Barakah susut 1.5 sen kepada tujuh sen.

Lambo dan IOI Properties masing-masing tidak berubah pada tujuh sen dan RM1.19.

Indeks FBM Emas meningkat 4.641 mata kepada 11,304.69, Indeks FBMT 100 menambah 12.101 mata kepada 11,148.9 dan Indeks Syariah FBM Emas meningkat 3.54 mata kepada 11,454.88.

FBM 70 susut 47.4 mata kepada 13,807.92, FBM Ace meningkat 9.8 mata kepada 4,404.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 56.221 mata kepada 16,619.09, manakala Indeks Perladangan susut 6.55 mata pada 6,888.95 dan indeks Indeks Produk & Perkhidmatan turun 0.51 mata kepada 163.31

-BERNAMA


Pengarang :