SELANGOR

Ceriakan Ramadan, SIRIM rai anak asnaf dan warga emas

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 16 MEI: Bagi menceriakan sambutan Ramadan, SIRIM Berhad meraikan 50 anak asnaf dari Baitul Hasanah dan 15 warga emas dari Bait Al-Mawadah pada Majlis Iftar Kumpulan SIRIM, hari ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, ia adalah aktiviti tahunan yang diadakan bagi mengimarahkan Ramadan.

Katanya, pada tahun ini pihaknya sudah mengatur pelbagai program supaya dapat menambah ilmu anggota kerjanya dan sekali gus melipatgandakan amal ibadah.

“Program semarak Ramadan di SIRIM dimulakan dengan aktiviti seperti agihan kurma, ceramah perdana setiap hari Jumaat serta program tazkirah Ramadan setiap waktu Zohor di Surau SIRIM.

“SIRIM turut menganjurkan Program Sumbangan Bingkisan Raya bagi menggalakkan anggota kerja menyumbang kepada golongan yang kurang bernasib baik dalam menyambut Aidilfitri kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap di Majlis Iftar Kumpulan SIRIM, di Dewan Serbaguna SIRIM, di sini.

Pada majlis terbabit, sumbangan bernilai RM7,500 diserahkan kepada Baitul Hasanah selain peralatan dan kelengkapan sekolah buat anak-anak asnaf itu.

Manakala, RM3,300 disumbangkan kepada warga emas Bait Al-Mawaddah serta kuih raya.

Kedua-dua rumah kebajikan terbabit adalah di bawah jagaan Lembaga Zakat Selangor.

Majlis itu turut disertai ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan SIRIM, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan 300 anggota kerja Kumpulan SIRIM.

 


Pengarang :