NASIONAL

Kementerian sambut baik denda tinggi terhadap pemburu haram

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menyambut baik keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang memerintahkan dua pemburu haram warga Vietnam dipenjara dua tahun dan didenda RM1.56 juta setiap seorang, semalam.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, jumlah denda terbabit adalah yang tertinggi pernah dikenakan bagi kenayah hidupan liar dalam sejarah negara.

Katanya, keputusan itu dilihat membuka harapan baharu dalam usaha kementeriannya memerangi jenayah terhadap hidupan liar.

“Keputusan ini akan menjadi pemangkin buat KATS untuk terus memperhebatkan usaha bagi memerangi jenayah hidupan liar dan anasir jahat yang membawa kemusnahan terhadap hidupan liar serta sumber alam Malaysia.

“Hukuman kepada dua warga Vietnam terbabit diharap menjadi penghalang kepada mereka yang berniat jahat untuk menganiayai hidupan liar demi keuntungan diri sendiri.

“KATS tidak berkompromi dengan sebarang tindakan tidak bertanggungjawab ini dan akan memantapkan kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menumpaskan sindiket pemerdagangan haram hidupan liar.

“Pemburu haram adalah pengkhianat negera dan tiada tempat untuk mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap 20 pertuduhan di bawah empat seksyen dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memilik jerat dan menyimpan hidupan liar dilindungi sepenuhnya.

Pemburu haram terbabit ditangkap oleh pasukan taktikal khas PERHILITAN iaitu Special Protected Area Response Team (SPARTA) semasa menjalankan Ops Belang pada 15 April 2019 di Taman Negara Terengganu.

 

 


Pengarang :