BERITA UTAMA SELANGOR

HIJRAH berjaya lonjak perniagaan Melayu hingga 200%

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 11 MEI: Skim HIJRAH berjaya melonjakkan keupayaan perniagaan peserta Melayu 50 hingga 200 peratus berbanding sebelum mereka menerima latihan dan pinjaman dalam program pembiayaan perniagaan Kerajaan Negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dijalankan Kerajaan Negeri bukan sekadar slogan dan propaganda tetapi dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

“Walaupun kita tidak sebutkan secara spesifik tetapi lebih 60 peratus penerima HIJRAH adalah kalangan masyarakat Melayu dan ini betul-betul mencerminkan kepada komuniti penduduk Melayu di Selangor.

“Secara puratanya, mereka berjaya meningkatkan keupayaan perniagaan daripada 50 peratus sehingga 200 peratus berbanding sebelum mereka menerima latihan dan dana tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar Bersama Agensi Kerajaan Negeri di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin bagaimanapun berkata, terdapat peratusan kecil peserta yang gagal memanfaatkan pembiayaan Kerajaan Negeri itu dengan lebih berkesan.

Katanya,HIJRAH adalah salah satu program IPR untuk memberdaya pelbagai kelompok masyarakat berbilang kaum termasuk masyarakat Melayu dan Islam.

Selain Skim HIJRAH, Kerajaan Negeri turut memperkasakan Skim Pusat Tuisyen Rakyat Selangor dengan peningkatan dana daripada RM3.5 juta pada 2018 kepada RM4.7 juta pada tahun ini.

Katanya, peningkatan pembiayaan Skim Pusat Tuisyen Rakyat Selangor ini adalah kesan penjajaran semula IPR yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dengan memfokuskan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


Pengarang :