PBTSELANGOR

Iftar Ala Madinah tonjol keteguhan Islam

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 17 MEI: Program Iftar Ala Madinah anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) adalah satu landasan bagi menonjolkan keteguhan Islam serta menjadi contoh kepada penganut agama lain.

Salah seorang penjawat awam, Mohammad Amirrudin Ahmad Jailani berkata, iftar sedemikian memberi peluang kepada golongan bukan Islam yang turut hadir pada program berkenaan merasai pengalaman dan dapat melihat sendiri bahawa umat Islam bersatu.

“Program seumpama ini turut mengetengahkan budaya Islam sekali gus mengenali dan beramah mesra antara orang awam dan kakitangan MBSA.

“Pada masa sama, saya bersyukur kerana dapat berkumpul bersama menunaikan solat jemaah dan kemeriahan dapat dirasai kerana ia mengimbau kembali suasana semasa berada di kampung,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, MBSA menganjurkan program Berbuka Puasa Terbuka ‘Iftar Ala Madinah’ dan Sembang Sahur 2019 MBSA di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi mualaf, Siti Nuratikah Abdullah, 42, menzahirkan rasa gembira dan syukur kerana menerusi program itu umat Islam bersama bersatu menyambut dan meraikan kehadiran bulan mulia ini.

“Alhamdulillah, Islam adalah terbaik walaupun dahulu saya rasa macam terpinggir dan mendapat tentangan hebat daripada pihak tertentu,” katanya.

Beliau yang juga berasal dari Miri, Sarawak berkongsi pengalaman sepanjang Ramadan tahun pertama dan ketiga beliau berjaya melengkapkan puasa selama sebulan.

Manakala, Nur Fatin Arrisha Suhaimi, 17, pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Shah Alam berkata, beliau mengetahui program itu melalui jemputan daripada MBSA.

“Melalui program ini, ia dapat menghidupkan suasana harmoni di Shah Alam dan dapat berkenalan dengan umat Islam lain yang datang dari seluruh kawasan.

“Jika program ini bakal dijadikan acara tahunan, saya akan membawa seluruh ahli keluarga ke sini bagi memeriahkan lagi suasana di Shah Alam,” katanya.

Terdahulu, lebih 2,000 orang memeriahkan Program Berbuka Puasa ‘Iftar Ala Madinah’ dan Sembang Sahur 2019 anjuran MBSA yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini.

Difahamkan, program julung kali diadakan itu meletakkan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menganjurkan acara sedemikian.

 

 


Pengarang :