SELANGOR

Jadikan krisis air Klang sebagai pengajaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Krisis ketiadaan bekalan air hampir lima hari di beberapa lokasi sekitar Klang perlu dijadikan iktibar buat pihak bertanggungjawab, kata Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis,
Ahmad Zawawi Mohd Mughni.

Katanya, insiden itu diharap dapat membuka mata pihak berkaitan supaya meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan membaiki kelemahan serta kekurangan menghadapi bencana.

“Sesungguhnya pengalaman ini amat berharga dan banyak hikmah yang dipelajari daripada krisis ini.

“Marilah kita bersama-sama memberikan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan hidup bersama,” katanya dalam kenyataan.

Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang berlaku susulan tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terpaksa bekerja 24 jam bagi melaksanakan kerja pembaikan paip.

Ia ekoran mereka perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah, pada 5 Mei lalu.

Pada masa sama, Ahmad Zawawi turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Air Selangor yang sabar dan tabah menghadapi cabaran Ramadan.

“Tahniah kerana bersabar menghadapi reaksi yang pelbagai daripada masyarakat.

“Tidak ketinggalan pasukan sukarelawan dan petugas dari Pusat Khidmat DUN Sungai Kandis yang bekerjasama serta membantu menyelaras bantuan air,” katanya.


Pengarang :