NASIONAL

KAJIDATA: PAKATAN masih jadi pilihan ramai

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Tinjauan pendapat umum terbaru KAJIDATA Research berhubung populariti Pakatan Harapan (PAKATAN) semasa ia meraikan ulang tahun pertama pemerintahannya menunjukkan ramai melihat PAKATAN sebagai kerajaan yang berdaya maju berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Tinjauan melalui telefon itu membabitkan 1,007 responden daripada pelbagai kaum, usia, pendapatan, negeri dan jantina menunjukkan 40% lebih cenderung untuk mengundi PAKATAN berbanding dengan PAS (16%) atau BN (15%). PAKATAN tetap mempunyai sokongan yang lebih besar jika dibandingkan dengan gabungan BN dan PAS.

Kajian yang dijalankan untuk membantu memahami persepsi rakyat terhadap PAKATAN juga menunjukkan 43% daripada pengundi berpendapatan tinggi berpuas hati dengan cara PAKATAN menguruskan ekonomi tetapi hanya 30% daripada golongan berpendapatan rendah berpuas hati.

Perbezaan ini mempunyai kesan politik yang jelas dengan pengundi berpendapatan rendah lebih berkemungkinan mengundi gabungan BN dan PAKATAN berbanding PAKATAN. Analisis tinjauan juga menunjukkan bahawa kesejahteraan ekonomi Rakyat merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan kesetiaan politik.

Kajian yang dijalankan sejak Mac tahun ini itu juga mendapati PAKATAN tidak medapat sokongan tinggi di Kelantan dan Terengganu, satu lagi petunjuk yang PAKATAN masih lagi tidak dapat meyakinkan masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah bandar bahawa ia adalah pilihan yang lebih baik.

Bagaimanapun, PAKATAN mempunyai sokongan padu di negeri-negeri di bawah pentadbirannya. Responden Sarawak juga menyatakan keyakinan mereka kepada PAKATAN.

Penemuan lain oleh KAJIDATA akan tahun pertama pemerintahan PAKATAN juga mirip dengan penemuan beberapa kajian lain termasuk kajian oleh Merdeka Centre dan kajian YouGov oleh The Star Media Group.

Berikut adalah ringkasan penemuan lain tinjauan KAJIDATA:

a) 42% berpuas hati dengan prestasi Tun Mahathir dan 37% tidak berpuas hati.
b) Hanya 34% berpuas hati dengan prestasi BN berbanding dengan 39% untuk PAKATAN.
c) 40% lebih cenderung untuk mengundi PAKATAN berbanding dengan PAS (16%) atau BN (15%).
d) PAKATAN mempunyai sokongan padu di negeri-negeri di bawah pentadbirannya.
e) 42% rakyat Malaysia percaya bahawa Malaysia sedang menuju ke arah yang salah berbanding 35% yang merasakan sebaliknya
f) 39% tidak berpuas hati dengan prestasi PAKATAN dan hanya 37% yang berpuas hati
g) 43% tidak berpuas hati dengan cara PAKATAN mengurusankan ekonomi dan hanya 33% yang berpuas hati
h) 38% belia memilih gabungan BN dan PAS berbanding 33% untuk PAKATAN
i) 38% daripada pengundi berpendapatan rendah memilih untuk mengundi gabungan BN dan PAS berbanding 31% untuk PAKATAN
j) PAKATAN tidak medapat sokongan yang tinggi di Kelantan dan Terengganu.

Diasaskan pada 2015, KAJIDATA Research mengkhusus dalam risikan Pasaran, Komersil dan Sosio-Politik dengan mengendalikan dan menyatukan metadologi tinjauan pendapat umum yang terbaik selain analisis media sosial.

– BERNAMA


Pengarang :