NASIONAL

Rasuah punca manusia bertambah jahat – Mufti

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Rasuah diantara faktor utama menjadikan seseorang manusia itu bertambah jahat, kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, amalan rasuah juga bakal melahirkan masyarakat yang mementingkan diri sendiri serta menghancurkan keadilan sesebuah negara.

Katanya, pengurusan pentadbiran juga akan menjadi lambat dan kucar kacir.

“Selain menyebabkan meningkatnya kos pengurusan, kesan buruk rasuah juga menyebabkan hasil kerja yang kurang baik.

“Ia juga akan menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang dalam negara,” tulisnya di laman instagram peribadinya, hari ini.

Zulkifli berkata, firman Allah SWT “janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah.

“Dan jangan pula menghulur harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya),”.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli mengingatkan semua pihak supaya bertekad menghindari diri dari sebarang bentuk rasuah serta membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul.


Pengarang :