SELANGOR

KDEBWM B juara paintball Piala Pengarah Urusan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 MEI: Pasukan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) B dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Paintball Piala Pengarah Urusan KDEBWM, hari ini.

Kemenangan itu diperoleh ketika penentuan tembakan penalti satu lawan satu selepas pasukan berkenaan seri dengan Pasukan Media Selangor A.

Pasukan juara berjaya membawa pulang medal dan cenderamata tajaan KDEBWM.

Sementara itu, Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmizi berkata, pertandingan kali pertama yang dianjurkan pihaknya itu mendapat kerjasama Media Selangor.

Katanya, selain merapatkan silaturahim, KDEBWM menghargai kerjasama Media Selangor yang sebelum ini menyokong pihaknya sejak beroperasi pada 2016.

“Sehingga kini, sokongan daripada Media Selangor kepada kami tidak pernah putus dan berharap ia terus berkekalan melalui acara sebegini.

“Permainan paintball dipilih memandangkan ini adalah program yang membabitkan semangat kerjasama berpasukan,” katanya ketika ditemui pada kejohanan yang berlangsung di Mudtrekker Cahaya SPK, di sini, pagi tadi.

Tempat kedua dimenangi Pasukan Media Selangor A, ketiga Pasukan KDEBWM A dan keempat Pasukan Media Selangor B.

Mengulas lanjut, Mahfuzah berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kerajaaan Selangor terutama dalam aktiviti kesukanan.

“Selepas ini kita mungkin akan adakan program berbasikal, mendaki dan sebagainya bagi membolehkan kakitangan media lebih mengenali pekerja KDEBWM.

“Kami turut berharap supaya usaha ini mendapat sokongan daripada GLC seluruh Selangor,” katanya.

 


Pengarang :