SELANGOR

Kompleks anak yatim di Pulau Indah bakal siap 2021

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 12 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memaklumkan projek pembinaan kompleks rumah anak yatim di Pulau Indah kini di fasa pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Pemangku Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, projek seluas tiga ekar itu dibangunkan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (Central Spectrum) yang bakal menelan belanja kira-kira RM10 juta.

“Ketika ini kita sudah menerima sumbangan sebanyak RM5 juta, kita memerlukan lagi RM5 juta dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) ada menyatakan kesudian membantu dengan sedikit sumbangan.

“Selepas siap dibina nanti, Central Spectrum akan menyerahkan kepada YIDE untuk menguruskan kompleks terbabit,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri kepada anak Yatim Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kompleks itu bakal menempatkan seramai 200 anak yatim lelaki dan siap dilengkapi pelbagai infrastruktur seperti padang bola, dewan serbaguna serta surau.

“Surau itu juga boleh digunakan orang ramai keran kawasan sekitarnya tiada masjid dan kita akan buat solat Jumaat di situ, jadi orang ramai boleh hadir untuk solat di situ,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :