SELANGOR

LZS serah 29 van jenazah bernilai RM4.5 juta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 10 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan 29 van jenazah bernilai RM4.5 juta kepada masjid terpilih meliputi sembilan daerah, di negeri ini hari ini.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan itu bagi membantu memudahkan pengurusan jenazah di kariah masjid berkenaan.

Katanya, ia juga diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk menguruskan jenazah, terutama di kawasan luar bandar selain mempunyai kariah yang ramai.

“Sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama dan sejak 2013 sehingga kini, LZS menyumbangkan 60 buah van dengan jumlah keseluruhan RM7.2 juta.

“Jika pengeluar zakat terus menunaikan zakat melalui LZS, kami akan dapat meneruskan usaha menyalurkan sumbangan bantuan zakat bagi membangunkan institusi agama terutama untuk kebajikan ahli kariah dan surau di seluruh Selangor.

“Dengan sumbangan ini, semoga ia dapat mempermudahkan urusan menguruskan jenazah kepada kariah masjid terpilih,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah di Dewan Besar, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini hari ini.

Penyerahan kunci van berkenaan disempurnakan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail sambil disaksikan Pengurus Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Lukman Al-Hakim Mohd Tamyes.

Pada masa sama, Abdul Basith berkata, idea tercetusnya pemberian van jenazah kepada beberapa masjid bermula pada 2013, apabila tular berita sebuah van jenazah dalam keadaan sangat daif di daerah Hulu Selangor.

“Ketika itu pemandu van jenazah salah sebuah masjid di Hulu Selangor sedang membawa jenazah dan van berkenaan tiba-tiba rosak di pertengahan jalan sehingga menyukarkan urusan pengebumian.

“Oleh sebab itu, hasrat kami adalah untuk memastikan seluruh masjid di Selangor yang kurang berkemampuan dapat diberi satu van oleh LZS melalui hasil pengeluaran zakat umat Islam Selangor,” katanya.

Terdahulu, antara 29 masjid terpilih menerima bantuan van jenazah adalah Masjid Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang; Masjid Al Amin, Hulu Langat; Masjid Kariah Rinching Hilir, Semenyih; Masjid Kg Batu 3, Semenyih; Masjid Jamaiyah Morib; Masjid Sultan Abdul Samad, Banting dan Masjid Al-Ehsan Kg Sungai Lang Tengah.

Turut sama menerima Masjid Kampung Sungai Merab, Kajang; Masjid Al-Ulum, Sungai Pelek; Masjid Al-Jannah, Kampung Hj Razali; Masjid Jamek El-Hassanad; Masjid Nurul Hidayah, Kuala Selangor; Masjid Jamiul Hasanah; Masjid Bandar Baru Sungai Buloh; Masjid Ukay Perdana, Ampang; Masjid Al-Ansar Taman Keramat; Masjid Jumhuriah Petaling Jaya; Masjid Riyadhus Solihin, Seri Kembangan dan Masjid Dato Hj Kamaruddin Petaling Jaya.

Manakala, masjid lain termasuk As-Salam Petaling Jaya; Masjid Nurul Huda, Puchong; Masjid Himmatul Aliyah, Seksyen 32 Shah Alam; Masjid Al-Barokah, Seksyen U15; Masjid As-Syukriah, Sungai Besar; Masjid Al-Ehsan, Sabak Bernam; Masjid At-Takwa, Sabak Bernam; Masjid Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu; Masjid Al-Falah, Batang Kali dan Masjid Bandar Utsma Batang Kali.


Pengarang :