PENDIDIKAN

Mahasiswa UniKL anjur Camp Care dekati anak yatim

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 9 MEI: Mahasiswa Institut Teknologi Maklumat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dengan mengadakan program Camp Care bersama Rumah Raudhatul Al Faeez.

Pengarah Program, Ahmad Hafiz Shahfudin berkata, program yang berlangsung pada 26 hingga 28 April itu bertujuan membantu anak-anak rumah terbabit memupuk hubungan positif dan keyakinan diri bersama masyarakat.

Katanya, program yang berlangsung di Kem Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan itu turut membantu mereka memahami nilai teras disiplin, rasa hormat, tanggungjawab, kerja berpasukan dalam persekitaraan pengembaraan.

Malah, program tanggungjawab sosial korporat itu juga bagi menyemai nilai-nilai keagamaan dan kepimpinan yang baik dalam kalangan mahasiswa dengan membabitkan mereka dalam aktiviti berasaskan komuniti, katanya.

“Program ini adalah antaara landasan terbaik untuk mahasiswa UniKL mendekati masyarakat, terutamanya kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Ini adalah panggilan kami untuk meminjamkan tangan membantu masyarakat, jadi kami selalu ingat kepada mereka yang kurang bernasib baik bagi mempunyai interaksi sosial dengan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang program terbabit, pelbagai pengisian diadakan seperti motivasi, permainan dan aktiviti keseronokan bagi mengekalkan momentum pembelajaraan anak-anak Raudah Al-Faeez.

Selain diberi makanan yang sihat dan lazat, anak-anak itu juga menerima sumbangan berupa beg baru, buku nota, pegun dan T-shirt yang ditaja UniKL Empire.

Program ini turut ditaja oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor, Lanisgas Enterprise, Kelab Rekreasi UniKL MIIT (KRUM), Warung Pak Hassan dan Juicy Raspberry.

 


Pengarang :