NASIONAL

Malaysia, Vietnam cari penyelesaian baharu atasi pencerobohan nelayan

KUANTAN, 18 MEI: Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk mencari kaedah penyelesaian baru berhubung isu pencerobohan nelayan negara itu ke perairan Malaysia yang semakin meruncing kebelakangan ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, isu pencerobohan nelayan antara perkara yang dibangkitkan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar, Pham Binh Minha semasa lawatan rasminya ke negara itu pada Khamis lepas.

“Kita berhadapan dengan masalah banyak bot nelayan Vietnam menceroboh perairan Malaysia yang menyebabkan ramai rakyat negara itu ditahan sehingga lokap sesak dan kawasan simpanan bot nelayan yang dirampas penuh.

“Saya maklumkan kepada pihak Vietnam bahawa kita (Malaysia) tidak suka menangkap nelayan mereka kerana ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, sebaliknya kita perlu menanggung kos makan mereka sepanjang berada dalam tahanan sebelum diusir pulang ke negara asal,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Parlimen Indera Mahkota kali kedua di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik agensi penguatkuasaan Malaysia, sebanyak 748 bot nelayan Vietnam ditahan dalam perairan Malaysia melibatkan penahanan 7,203 rakyat negara itu bermula 2006 hingga awal Mei 2019.

“Kita berharap memorandum persefahaman (MoU) kaedah penyelesaian baru ini dapat dimeterai selewat-lewatnya hujung tahun ini iaitu pada pertemuan kedua Menteri Luar kedua-dua negara yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

“Isu ini juga akan diperhalusi pada mesyuarat pegawai kanan Malaysia-Vietnam yang dijadualkan berlangsung Julai ini kerana pada ketetapannya kita telah bersetuju untuk berbincang kerana Malaysia tidak pernah berbangga menangkap nelayan mereka.

“Pada pertemuan sebelum ini, kerajaan Vietnam juga memberi jaminan bahawa mereka akan mendidik nelayan mereka supaya tidak terus menceroboh sempadan perairan Malaysia,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, MoU seumpamanya telah ditandatangani antara Malaysia dengan Indonesia melibatkan persetujuan untuk ‘tahan bagi pemeriksaan dan terus mengusir’ bot nelayan yang melangkau sempadan. – BERNAMA


Pengarang :