SELANGOR

MB: Buat apa ke Pavilion jika ada PKNS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 MEI: Dato’ Menteri Besar hari ini menggunakan peluang hujung minggunya dengan menjenguk suasana Festival Ramadan Selangor 2019 (FESTIRA’19) bertempat di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini.

Amirudin Shari berkata, beliau yang ditemani anak sulungnya, Amirul Haziq sempat membeli beberapa barangan persiapan sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kalau sudah ada kompleks PKNS, kenapa perlu ke Pavilion, tapi jika bawa isteri bersama, anda mungkin perlu bersedia untuk berjalan kira-kira dua jam dan tambahan masa satu jam lagi sekiranya diseret ke SACC Mall.

“Tetapi orang ramai tidak perlu risau sekiranya terlajak waktu berbuka, di luar kompleks PKNS ada bazar Ramadan yang menawarkan pelbagai juadah berbuka yang lazat,” tulisnya di instagram peribadi miliknya, hari ini.

FESTIRA’19 edisi ke-7 anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) berlangsung di tiga lokasi iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi.

Menyasarkan seramai 2.5 juta pengunjung kali ini, FESTIRA’19 turut menyediakan pembayaran transaksi tanpa tunai dan applikasi e-dompet.

Menariknya, karnival itu turut menyediakan pengisian aktiviti pentas antaranya pertandingan pencarian bilal muda, pertandingan mencanting batik, persembahan buskers dan aktiviti memasang pelita yang bermula dari 11 Mei hingga 2 Jun.

Pengunjung juga berpeluang merebut hadiah duit raya berjumlah RM22,000 bagi pembelian melebihi RM200 bagi mereka yang membeli belah di semua bangunan PKNS.

 


Pengarang :