NASIONAL

MB rakam takziah kematian Hassan Din

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 MEI: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Amirudin Shari menerusi twitternya berkata, negara kehilangan seorang permata agamawan yang terbilang.

“Allahyarham telah mencurahkan bakti kepada perkembangan ilmu al-Quran. Al Fatihah.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan Allahyarham Ustaz Hassan Din Al Hafiz di kalangan para syuhada,” tulisnya.

Bekas Penasihat Agama Istana Negara itu meninggal pada usia 72 tahun.

Anak lelakinya, Mohamad Yusri Abu Hassan, berkata Allahyarham meninggal dunia selepas terjatuh ketika bangun untuk menunaikan solat subuh.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah di Kampung Batu Muda dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Hamzah.

Allahyarham adalah adik kepada bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada September 2016.

Arwah dilahirkan di Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau, sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham mulai bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.


Pengarang :