SELANGOR

Paip air meletup selepas lori ‘disedut’ jalan raya mendap

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 28 MEI: Sebuah lori seberat satu tan hampir ‘tenggelam’ di jalan raya yang mendap secara tiba-tiba di hadapan Masjid Al-Amaniah, di sini, pagi tadi.

Ahli Majlis JKP Zon 8 Majlis Perbandaran Selayang, Mohamad Faizal Ismail berkata, lori berkenaan gagal dikeluarkan setelah beberapa kali percubaan dilakukan.

“Kejadian pada jam 10 pagi itu kemudiannya bertambah buruk apabila paip air yang berada di bawah tanah bocor akibat tekanan kuat dari lori berkenaan.

“Pada waktu itulah letupan berlaku sehingga menyebabkan limpahan air berlaku dan berlarutan hingga jam 1 petang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan juga Ketua Whip, Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Amir Fazlee Khalid.

Sementara itu Amir Fazlee berkata, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan kerana tekanan air daripada paip bocor terbabit agak kuat.

“Kita hanya lihat bahagian permukaan jalan sahaja yang mungkin tiada kejadian serius berlaku, namun penelitian yang lebih akan dilakukan di bawah tanah membabitkan paip lain.

“Beberapa perkara penting dan segera perlu dilakukan oleh agensi yang berkaitan antaranya memohon Air Selangor meuarkan segera kepada penduduk yang terjejas, melakukan penutupan jalan serta mewujudkan jalan alternatif.

“Saya berharap penduduk bersabar dan pihak kami akan sentiasa cuba memberi maklumat secepat mungkin,” katanya.


Pengarang :