PBTSELANGOR

Pemaju perlu bertanggungjawab, elak tuntutan insurans ditolak

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

PETALING JAYA, 29 MEI: Semua pemaju perlu bertanggungjawab menyediakan dokumen yang lengkap bagi mengelakkan setiap tuntutan insurans ditolak sekali gus menjejaskan aktiviti membaik pulih sesebuah kawasan, kata Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Susulan kejadian runtuhan tembok di tempat letak kenderaan Pangsapuri Permai pada 30 Mei lalu, sebuah syarikat insurans enggan memberi kerjasama kerana pihak pemaju terdahulu tidak menyediakan dokumen yang lengkap.

“Saya berharap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak bagi mengelakkan sebarang kecelakaan atau perkara yang tidak diingini berlaku pangsapuri lain.

“Ini kerana, sesetengah pemaju tidak memberi kerjasama dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa khususnya kepada pangsapuri yang terdedah kepada risiko tanah runtuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan taklimat bagi Projek Penstabilan Tembok Penahan di Pangsapuri Permai, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya; Ismail Shafie dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Permai; Syed Abdul Rahman.

Terdahulu, tembok penahan di tempat letak kenderaan runtuh dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Jalan Tropicana Selatan dan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat yang menyebabkan kerosakan enam buah kereta.

Justeru, Majlis Bandaraya Petaling Jaya memperuntukan RM1.7 juta untuk membaik pulih tembok berkenaan.


Pengarang :