NASIONAL

35 bot penambang lakukan pelbagai kesalahan dikompaun

 

KOTA KINABALU, 29 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) telah mengenakan kompaun terhadap 35 buah bot penambang yang melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya telah menjalankan Op Gelora Khas bagi memeriksa kesemua bot penambang di perairan Kota Kinabalu, berikutan beberapa kejadian kemalangan di perairan tersebut, baru-baru ini.

“Keseluruhan sebanyak 78 buah bot penambang telah ditahan dan diperiksa. Hasil pemeriksaan yang dijalankan didapati 35 buah bot penambang melakukan kesalahan antaranya antaranya membawa penumpang melebihi had, alat-alat keselamatan tidak lengkap termasuklah tiada jaket keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tujuan operasi berkenaan dijalankan untuk meningkatkan kesedaran penduduk-penduduk, komuniti nelayan dan juragan bot penambang, serta komuniti yang tinggal di pulau berdekatan, supaya lebih peka dan berhati-hati apabila menggunakan bot-bot ini.

“Juragan bot penambang juga diingatkan supaya mengendalikan bot dengan lebih cermat dan peka, supaya penumpang boleh sampai ke destinasi dengan selamat, terutamanya menjelang musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. -BERNAMA

Foto Ihsan Facebook Pasukan Polis Marin W4 Sabah


Pengarang :