SELANGOR

Pergerakan tanah punca kelewatan pembaikan paip

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 MEI: Penduduk yang terkesan ekoran ganguan bekalan air tidak berjadual, sejak Ahad lalu diminta bersabar ekoran terdapat pergerakan struktur tanah di tiga paip utama berhampiran projek pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, insiden itu menyebabkan kelewatan proses kerja pembaikan paip berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri dan pihak WCE sedang menjalankan siasatan terperinci bagi menyiasat punca sebenar berlakunya pergerakan tanah itu.

“Masalah ini bukan kecil, apabila membabitkan tanah sudah tentu ia serius. Ia juga membabitkan tiga paip utama bersaiz 1400, 900 dan 600.

“Pihak WCE yang bertanggungjawab membina lebuh raya ini sedang menyiasat punca insiden kerana siasatan lanjut diperlukan supaya kes ini tidak menjadi lebih besar.

“Pada masa sama, kita mengarahkan WCE untuk mengurangkan bebanan di struktur tanah terbabit,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke lokasi kejadian, di sini.

Ir Izham berkata, Kerajaan Negeri mahu pihak bertanggungjawab terus memastikan langkah keselamatan dijaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku lebih serius.

Beliau turut memohon maaf kepada 175,000 pemegang akaun yang terjejas khususnya sekitar Klang akibat insiden itu dan berjanji akan menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

“Saya berharap semua pihak dapat bersabar dan jika ada aduan, tidak dapat bekalan air yang dihantar boleh menghubungi Air Selangor dan saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan di kawasan yang terjejas adalah secara berperingkat dan tempoh pemulihan bagi setiap kawasan juga berbeza.

“Air Selangor akan menyegerakan bekalan air dalam tempoh 24 jam jika masalah ini diselesaikan,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat dan status terkini, sila muat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter @air_selangor.

Pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-281 6793 dan 019-280 0919 untuk bantuan.


Pengarang :