BERITA UTAMASELANGOR

74 lori air digerakkan salur bekalan air

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 MEI: Air Selangor diminta menghantar lebih bekalan air kepada masjid dan surau kawasan yang terjejas ekoran gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lalu.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, hal itu bagi memastikan aktiviti kedua-dua insititusi berkenaan diteruskan, pada Ramadan ini.

Katanya, sebanyak 74 lori tangki air terdiri daripada 69 lori tangki bersaiz biasa dan lima jumbo digerakkan menghantar bekalan di seluruh kawasan terbabit.

“Sebanyak 65 kawasan membabitkan 175,000 pemegang akaun khususnya sebahagian Klang terjejas ekoran insiden ini.

“Selain menghantar 74 lori tangki air, pihak Air Selangor akan turut meletakkan septik tank di 10 lokasi dan mengedarkan 20,000 botol air mineral kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke lokasi kejadian, di sini.

Terdahulu, Air Selangor mengesahkan tempoh siap kerja pembaikan tiga paip utama berhampiran projek pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping yang pecah hujung minggu lalu, terpaksa dilanjutkan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, ia ekoran berlakunya pergerakan tanah yang menyebabkan kelewatan proses kerja pembaikan.

Kerajaan Negeri dan WCE sedang menjalankan siasatan terperinci bagi menyiasat punca sebenar pergerakan tanah itu.


Pengarang :