SELANGOR

Pindaan projek Taman Air Manis tidak babit R&R

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 7 MEI: Pindaan projek pembangunan bersepadu di Taman Air Manis tidak membabitkan kawasan rehat dan rawat (R&R) tetapi hanya projek pembinaan rumah.

Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, ia kini berada pada pindaan terakhir, dengan pembinaan lokasi R&R masih di tempat sama.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berpegang kepada arahan Kerajaan Negeri dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri(MMKN) berhubung projek itu.

“Setakat ini, tiada pemansuhan berhubung pembinaan R&R atau pemindahan lokasi. Kita berpegang kepada arahan Kerajaan Negeri.

“Pandangan saya, lokasi itu masih relevan bagi pembinaan R&R. Apa pun kami mengikut arahan daripada MMKN jika ada cadangan perubahan berikutan kewujudan jejambat di hadapannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam sesi pendengaran awam berkenaan isu projek Pembangunan Perumahan di Taman Air Manis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), di Bangunan Annex, di sini.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berhubung projek terbabit yang tiada gerak kerja sejak 10 tahun lalu.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Perancangan asal pembangunan terbabit adalah berasaskan konsep pembangunan bersepadu, merangkumi Rumah Selangorku serta mempunyai kedai pejabat, stesen minyak dan pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).


Pengarang :