BERITA UTAMANASIONAL

Malaysia dapat semula AS$322 juta dana 1MDB

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 MEI: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sudah dan akan memulangkan sejumlah besar dana yang diperoleh semula hasil sitaan aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pemindahan pertama dana yang dipulangkan sebanyak USD57,036,788.68 juta atau RM236,672,083.16 juta dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB yang dibuka khusus bagi tujuan itu.

“Oleh itu, Malaysia sudah mendapatkan semula AS$322 juta (kira-kira RM1.3 bilion) nilaian daripada aset 1MDB sejak siasatan ke atas 1MDB bermula secara efektifnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, pada Mei 2018.

“Suatu jumlah lain sebanyak SG$50 juta daripada dana yang berkaitan 1MDB juga sudah diarahkan oleh mahkamah di Singapura untuk dihantar pulang.

“Sejumlah SG$15 juta sudah dikreditkan ke dalam akaun aset pemulihan 1MDB antara September tahun lalu sehingga Mac tahun ini. Baki sebanyak SG$35 juta akan dikreditkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

Thomas turut mengesahkan AS sudah memulangkan pembayaran pertama membabitkan AS$57 juta hasil sitaan sebuah syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures setelah ditolak dengan kos sebanyak AS$3 juta untuk penyiasatan, penyitaan, perbicaraan dan penyelesaian kes rumah penerbitan itu dan Equanimity.

Jumlah itu daripada penyelesaian AS$60 juta antara Red Granite Pictures dengan DOJ, pada Mac 2018.

Selain itu, Thomas memaklumkan DOJ kini dalam proses memulangkan AS$139 juta hasil penjualan kepentingan Jho Low dalam Hotel Park Lane di Manhattan.

“Pemulihan aset ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama baik oleh pihak berkuasa Malaysia dengan rakan sejawat di AS dan Singapura.

“Kami ingin menyatakan rasa terima kasih kepada mereka. Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan dan Malaysia yakin akan lebih banyak wang bakal didapatkan semula dalam bulan mendatang,” katanya


Pengarang :