Polis Kelantan beri amaran jangan jual mercun di musim perayaan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Polis Kelantan beri amaran jangan jual mercun di musim perayaan

 

KOTA BHARU, 29 Mei: Polis Kelantan memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjual atau bermain mercun, termasuk yang diubahsuai kerana perbuatan itu adalah berbahaya selain menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, perbuatan pihak tertentu yang menyeludup masuk mercun dan bunga api dari negara jiran, untuk dijual secara haram ketika musim perayaan di sini adalah perbuatan yang salah di sisi undang-undang.


Beliau berkata tindakan itu seolah-olah satu “penganiayaan” kepada penduduk di sini di mana jika ada kemalangan melibatkan permainan mercun sudah pasti mangsa akan mengalami kecederaan parah termasuklah sehingga mengalami kecacatan kekal dan trauma berpanjangan.

Katanya hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan, kerana tidak mengandungi bahan membakar yang boleh membahayakan keselamatan.

“Bagaimanapun, penjualan kedua-dua jenis mercun berkenaan masih memerlukan permit Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan dan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga selain yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, malam tadi.

Jelasnya, jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Hasanuddin berkata bermain dan membakar mercun dan bunga api dilarang, juga boleh dihukum penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Hasanuddin berkata dengan adanya Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Kelantan-Thailand antara lain adalah menghalang kemasukan bahan berkenaan ke negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sepanjang Ramadan sudah ada dua kes kemalangan akibat bermain mercun yang diubahsuai daripada mercun bola di negeri ini.

“Kita juga ada membuat tangkapan ke atas peniaga termasuk yang terbaru di Pasar Borong Wakaf Bata, Machang, semalam melibatkan seorang wanita berusia 46 tahun.

“Wanita itu ketika ditahan didapati memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih kurang RM500,” katanya.-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next