BERITA UTAMASELANGOR

Ramadan datang lagi, umat Islam Malaysia berpuasa esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 MEI: Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok, 6 Mei 2019, demikian pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Pengumuman Syed Danial yang dibuat secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia itu turut memaklumkan, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sementara itu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerusi catatan ringkas di twitter turut mengajak umat Islam bersama-sama memanfaatkan bulan Ramadan kali ini dengan berlumba-lumba mengerjakan amal ibadah.

“Telah tiba satu bulan yang cukup istimewa di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

“Teruskan istiqamah dalam mengejar maghfirah dan memperbanyakkan sedekah. Semoga segala amal ibadah kita diterima ALLAH SWT,” catatnya.


Pengarang :