SELANGOR

RM850,000 baik pulih Istana Bandar, wujud pameran ‘living museum’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 28 MEI: Istana Bandar diberi nafas baru apabila Kerajaan Negeri memperuntukan RM850,000 bagi tujuan membaik pulih bangunan yang merupakan tempat keputeraan ayahanda Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Yang Dimuliakan Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Mohamed Tengku Harun berkata, pameran berkonsepkan ‘living museum’ turut diadakan apabila kerja baik pulih siap nanti.

“Selain sektor hartanah, daerah ini turut menjadi tumpuan pelancong kerana kepelbagaian tarikan pelancongan khususnya pelancongan tempat bersejarah seperti Istana Bandar, Masjid Diraja Sultan Alaeddin, Muzium Insitu Jugra,” katanya.

Tengku Mohamed berkata demikian ketika menyembah ucapan dihadapan Sultan Sharafuddin pada Majlis Ihya Ramadan DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat 1440H/2019M di Masjid Sultan Abdul Samad, Kampung Seri Jugra, Banting di sini, hari ini.

Beliau berkata, sektor pelancongan di Kuala Langat juga dipacu oleh pelancongan rekreasi pantai di mana Daerah Kuala Langat mempunyai empat pantai yang menjadi tarikan pelancong iaitu Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Kelanang dan pantai yang baru dibuka iaitu Pantai Cunang.

Katanya, bagi tujuan keselamatan pelancong yang datang berkunjung ke Pantai Morib dan Pantai Batu Laut, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4.3 juta untuk projek pembinaan ban dan penahan ombak di kedua-dua pantai terbabit.

Beliau turut melahirkan keyakinannya Kuala Langat akan menjadi destinasi percutian keluarga apabila tiga taman tema sedang dan akan dibina.

Tiga taman tema itu adalah Morib Bay Resort City, Amverton Cove Golf and Island Resort dan termasuk yang bakal melonjakkan industri pelancongan, Kuala Lumpur Lakeside City bakal menempatkan taman tema tersohor global iaitu Universal Studio, Fox World dan Disney World.

Foto Kredit: PDT Kuala Langat

 


Pengarang :