SELANGOR

Selangor catat 1,096 kemalangan pada hari kedua Ops Selamat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 31 MEI : Selangor mencatatkan 1,096 kes kemalangan walaupun baru sahaja dua hari Ops Selamat ke 15 dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula 29 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sementara pada tempoh yang sama, tujuh kes kemalangan maut dicatatkan dan 7,262 saman dikeluarkan.

“Jumlah ini dilihat agak tinggi walaupun baru sahaja operasi dijalankan.

“Untuk rekod, Ops Selamat ke 11 pada tahun 2017, jumlah kemalangan ialah sebanyak 5,802 dan Ops Selamat ke 13 pada 2018 ialah sebanyak 5,896 kes.

“Bagi kemalangan maut juga meningkat iaitu dari 33 kes pada 2017 kepada 42 kes pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Selamat ke 15 bersempena Perayaan Aidilfitri Peringkat Selangor 2019, di Plaza Tol KLIA, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, Ops Selamat 15 dijalankan selama dua minggu bermula dari 29 Mei hingga 12 Jun ini.

Katanya, seramai 1,049 anggota akan ditempatkan di lokasi panas seluruh Selangor dan pada masa sama PDRM menekankan aspek penguatkusaan serta rondaan.

Terdahulu, kempen yang dilancarkan kali ini merangkumi empat program utama termasuk pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan serentak dengan pemantauan dan penilaian.

Ia juga dilaksana bagi mendidik pengguna jalan raya mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri seperti penggunaan tali pinggang keledar dan pemakaian topi keledar yang diluluskan SIRIM. 


Pengarang :