SELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima pembayaran zakat RM13.1 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan RM13.1 juta daripada enam syarikat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), hari ini.

Enam syarikat berkenaan adalah Kumpulan DRB-Hicom diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Dato’ Sri Syed Faisal Albar yang menyerahkan zakat perniagaan RM4.64 juta, manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menyerahkan RM2.86 juta diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Sementara itu, Kumpulan Worldwide Holdings Berhad mewakilkan CEO, Datin Paduka Norazlina Zakaria dengan zakat perniagaan berjumlah RM2.75 juta diikuti CEO Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed (RM1.21 juta).

Dua lagi syarikat ialah UMW Holdings Berhad melalui Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Azmin Che Yusoff (RM1.16 juta) dan CEO Permodalan Negeri Selangor Berhad, Dato’ Sri Ahmad Omar (RM500,000).

Semua pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2018 itu diserahkan ketika Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pada majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 72 asnaf fakir, 394 miskin serta 77 asnaf mualaf.

Kesemua menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, dengan membabitkan jumlah zakat sebanyak RM271,500.

Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 


Pengarang :