SELANGOR

Terminal ‘cashless’ bantu pengguna tiada akses telefon pintar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 6 MEI: Terminal pembayaran parkir tanpa tunai (cashless) di lapangan akan disediakan Syarikat Godell Parking Sdn Bhd bagi memenuhi keperluan pengguna yang tidak memiliki akses telefon pintar.

Syarikat swasta yang berpangkalan di Seksyen 13 Shah Alam itu menjalin kolaborasi bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) melalui sistem aplikasi pintar letak kereta.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, kemudahan terminal pintar itu berlandaskan konsep ‘Pay N Go’ yang dilengkapi dengan aplikasi pembayaran tanpa tunai menggunakan kad ‘Touch N Go’, kad debit atau kad kredit.

“Melalui konsep ini, pengguna tidak perlu kembali semula ke kenderaan masing-masing selepas membuat bayaran letak kereta kerana rekod bayaran sudah dikemaskini di dalam pengkalan data yang diintegrasi dengan pelayan web sedia ada selain boleh diakses oleh anggota penguat kuasa.

“Malah, terminal ini mampu dinaiktaraf bagi kegunaan pembayaran selain daripada caj letak kereta awam seperti membuat pelbagai bayaran iaitu bayaran bil utiliti, cukai pintu dan lain-lain transaksi E-dagang.

“Terminal ini juga yang pertama di Malaysia dibangunkan untuk kegunaan outdoor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi Pintar Letak Kereta ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) dan ‘Parkbyphone’ (PBP), di Laman Kenanga Aras 1, Bangunan MPSJ, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; Pengarah Urusan SSDU, Dr Mohammad FahmiNgah dan Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar.

 

Noraini berkata, pihaknya juga akan meneruskan pelbagai inisiatif selain pelaksanaan penambahbaikan terhadap sistem aplikasi pintar SSP dan PBP.

“Ini bagi membuka peluang kepada mana-mana aplikasi yang sama lain memberikan perkhidmatan dan pengguna akan memilih aplikasi yang difikirkan baik,” katanya.


Pengarang :