SELANGOR

Tourism Selangor promosi pelancongan dalam bahasa Arab

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Tourism Selangor dan Arabian Travel Market (ATM) melancarkan kempen promosi pelancongan menerusi Facebook dalam bahasa Arab.

Tourism Selangor dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan bertujuan menjadikan Facebook landasan digital untuk mempromosikan Selangor sebagai destinasi yang perlu dikunjungi.

Katanya, ia membuktikan komitmen jelas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam usaha memperkembangkan industri itu di mata dunia.

“Menerusinya, Torusim akan melaksanakan pelbagai pertandingan untuk mendapatkan lebih banyak pandangan khususnya dari pelancong Timur Tengah.

“Kempen ini menjadikan Selangor pada tahap berbeza yang menyoroti pelbagai aspek, sekali gus menunjukkan komitmen dalam menarik pelancong dari negara Arab,” katanya.

Pada masa sama, Tourism Selangor berkata, kesemua sembilan daerah di negeri itu akan diperkenalkan termasuk pusat membeli belah, hotel, perubatan, kesihatan, sukan dan restoran.

Baru-baru ini, Tourism Selangor mempromosikan produk dan kemudahan pelancongannya di ATM 2019 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Dubai, dari 28 April hingga 1 Mei lalu.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, penyertaan itu akan dapat membuka pintu pertumbuhan ekonomi menerusi sektor pelancongan yang mampan, pada masa hadapan.


Pengarang :