SELANGOR

Bayi tiga bulan tiada lelangit dibantu LZS

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 JUN : Seorang bayi berusia tiga bulan, Aulia Faizol yang mengalami masalah jantung berlubang serta tiada lelangit pada bahagian mulutnya dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini.

LZS melalui kenyataan berkata, bayi malang yang turut mempunyai masalah pendengaran dan sumbing.

Katanya, suntikan khas sebanyak enam kali perlu diberi kepada bayi itu bagi membantu pertumbuhan dan perkembangannya.

“Kami menerima maklumat, kos sekali suntikan mencecah lebih RM3000, tambahan dia juga memerlukan susu khas dengan anggaran kos sebanyak RM300 sebulan.

“Akibat kos yang tinggi, bapa Aulia yang dikenali sebagai Faizol tidak dapat menumpukan perhatian sebagai pemandu teksi kerana runsing,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, LZS berkata, pendapatan Faizol hanyalah mencecah purata RM1200 sebulan selain menyara seorang isteri dan tiga anak.

Katanya, disebabkan itu lawatan segera dilakukan dan hasilnya LZS mendapati keluarga berkenaan layak dikategorikan sebagai asnaf miskin.

“Oleh sebab itu, kami menyerahkan surat kelulusan bantuan perubatan bagi kos suntikan khas buat Aulia berjumlah RM15,180 serta bantuan kecemasan sebanyak RM300.

“Bantuan susulan seperti kos pembelian susu khas akan dibantu juga setelah mendapat pengesahan dari pihak hospital.

“Terima kasih kepada pengeluar zakat di Selangor kerana andalah Aulia dapat dibantu. Semoga Aulia dan keluarganya tabah mengharungi ujian hidup,” katanya.


Pengarang :