NASIONAL

Bekas eksekutif bank didakwa pecah amanah RM9,200

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Seorang bekas eksekutif operasi dan khidmat pelanggan sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang RM9,200 milik seorang individu, tiga tahun lepas.

J.G Subashini Tan, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Tertuduh didakwa sebagai eksekutif operasi dan khidmat pelanggan yang digajikan oleh Hong Leong Bank yang diamanahkan dengan harta iaitu wang tunai RM9,200 milik seorang individu telah melakukan pecah amanah jenayah dengan curangnya menyalahgunakan harta itu.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu di Hong Leong Bank Ground & Mezzanine Floor Wisma Sin Heap Lee, Jalan Tun Razak di sini pada 13 Ogos 2017. Dia dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 14 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hajar Hamzah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun Subashini yang diwakili peguam Razman Sahat memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun. Anak guam saya juga menjaga ibu bapanya yang uzur,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – BERNAMA


Pengarang :