NASIONAL

Seorang lagi pesakit Orang Asli dimasuk ke hospital

KUALA TERENGGANU, 17 JUN: Seorang lagi pesakit Orang Asli yang berasal dari Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang pada pukul 2.57 pagi tadi kerana mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Orang Asli yang menerima rawatan di hospital itu ketika ini ialah seramai 10 orang.

“Pesakit lelaki yang berusia 29 tahun itu ditahan wad ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut setelah mengalami demam dan batuk sejak tiga hari lepas.

“Berdasarkan siasatan, pesakit tersebut didapati ada berkunjung ke Kuala Koh dekat Gua Musang di Kelantan baru-baru ini kerana mempunyai keluarga di sana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rabu lepas, lapan pesakit Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, dimasukkan ke hospital itu di mana tujuh daripadanya mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan manakala seorang lagi kerana mengalami cirit-birit, sakit perut serta muntah dan sedang menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE).

Kemudian, pada Jumaat, seorang lagi pesakit dari kampung itu dimasukkan ke hospital tersebut.

Dr Mohd berkata kesemua mereka yang dimasukkan ke hospital itu berumur antara empat dan 29 tahun yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan.

“Keadaan semua mereka dilaporkan stabil, diberi antibiotik dan rawatan kesihatan dengan pemantauan petugas hospital.

“Aktiviti kesedaran mengenai penjagaan kebersihan dan kesihatan juga diteruskan secara harian di Kampung Sungai Berua dan Kampung Gerdong ketika ini,” katanya.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman. – BERNAMA


Pengarang :