SELANGOR

EXCO terima kunjungan delegasi IMWU, erat silaturahmi

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 JUN : EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menerima kunjungan hormat Delegasi Persatuan Wanita Muslim Antarabangsa (IMWU), di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Kunjungan itu membabitkan negara Sudan, Pakistan dan Arab yang diketuai Pengerusi Majlis Pemegang Amanah IMWU, Dr Samia Raheel Qazi dan turut disertai Setiausaha Agung IMWU, Dr Afaf Ahmed Mohamed Hissam.

Turut menyertai delegasi itu adalah Naib Setiausaha Agung IMWU, Dr Amirat Ali Himat; Setiausaha Pejabat IMWU, Rowaida Izaldin serta Sekretariat IMWU, Dr Rukhsana.

Difahamkan, kunjungan sedemikian adalah yang pertama diadakan semenjak Dr Siti Mariah memegang jawatan selaku EXCO Kerajaan Negeri.

Dr Siti Mariah ketika ditemui media berkata, pertemuan itu bertujuan menyuburkan lagi silaturahmi wanita di seluruh negara Islam di dunia ini.

Katanya, dalam pertemuan selama dua jam itu, kedua-dua pihak saling bertukar fikiran dan pandangan termasuk pemberdayaan, kemiskinan, jurang perbezaan seluruh wanita di dunia yang sangat ketara pada ketika ini.

“Dalam pertemuan ini, kita banyak membincangkan berkenaan usaha bagi mencapai pemberdayaan wanita Islam seluruh dunia khususnya di Afrika kerana mereka kagum melihat pemberdayaan wanita Malaysia tanpa hilang identiti sebenar.

“Malah, mereka optimis Malaysia dapat membantu wanita seperti di negara-negara Afrika termasuk Sudan berkaitan pemberdayaan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Perjumpaan Bersama Delegasi IMWU di sini, hari ini.

Terdahulu, IMWU adalah kumpulan perundingan dengan Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada tahun 1996, wanita Islam dari 65 negara bertemu di Khartoum di Antarabangsa Forum Wanita Muslim untuk mengatasi kebimbangan bersama.

Mereka memutuskan untuk membentuk persatuan terbabit sebagai satu platform yang membolehkan wanita muslim dari pelbagai negara dapat berkumpul berkongsi idea, pengalaman dan kemahiran.

Selain itu, ia bertujuan kolaborasi terhadap peningkatan wanita muslim secara global, menggalakkan dan memberi inspirasi kepada wanita muslim lain untuk meneruskan visi dan aspirasi mereka.


Pengarang :