NASIONAL

Kajian semakan gaji pegawai, anggota polis terakhir pada 2010

KUANTAN, 14 JUN: Kajian semakan berkaitan gaji pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kali terakhir dilakukan adalah pada 2010, kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar.

Sehubungan itu, katanya sudah tiba masa untuk kajian dilakukan kerana gaji yang tidak setimpal boleh menjadi antara faktor anggota polis terlibat dalam unsur tidak sihat seperti rasuah.

“Tekanan hidup yang dihadapi di luar sana terutama mereka yang bekerja di bandar besar menyebabkan mereka menjalankan tugas dalam keadaan tertekan dengan kos sara hidup.

“Pengurusan Bukit Aman mengambil pendekatan mengkaji kenaikan gaji dan elaun yang mereka patut terima untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan dan kerajaan.

“Walaupun kita faham kerajaan mempunyai masalah kewangan, namun ini adalah hak anggota dan pegawai yang bukan hanya tertekan dalam soal gaji, tetapi juga waktu penugasan yang tinggi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Abd Rahim sebelum itu menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang antara Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad kepada Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang dilantik untuk memangku jawatan itu, berkuatkuasa hari ini.

Ab Rahim berkata, kajian itu yang diharapkan bermula dalam masa terdekat, dijangka melibatkan kira-kira 82,000 anggota berpangkat Sarjan ke bawah.

Katanya, jumlah gaji yang kecil juga menyebabkan ada anggota polis, khususnya yang bertugas di bandar besar menghadapi masalah logistik kerana perlu menyewa atau membeli rumah agak jauh dari tempat penugasan mereka.

“Mereka yang berkhidmat di Kuala Lumpur, Shah Alam atau Petaling Jaya di Selangor misalnya, ramai yang menyewa rumah di luar daerah kerana tidak mampu untuk menyewa dalam daerah tersebut kerana gaji kecil dan elaun perumahan yang tidak setimpal,” katanya.

Abd Rahim berkata, penambahbaikan besar-besaran juga perlu dilakukan terhadap kuarters polis yang daif dan uzur kerana sedikit sebanyak perkara itu juga memberi tekanan kepada mereka yang tinggal di situ.

Beliau berkata, pengurusan Bukit Aman bercadang menyediakan kertas kerja baharu berhubung kos penambahbaikan kuarters kerana peruntukan yang diluluskan kerajaan sebanyak RM100 juta sebelum ini, dilihat tidak mencukupi.

“Boleh dikatakan hampir semua kuarters polis di seluruh negara memerlukan kerja pembaikan secara besar-besaran dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador juga telah melawat beberapa kuarters untuk melihat sendiri kedaifan kuarters ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :