NASIONAL

Kaum, etnik perlu bantu kerajaan majukan pelancongan negara

LAHAD DATU, 23 JUN: Setiap kaum atau etnik di negara ini perlu membantu kerajaan merealisasikan matlamat memajukan sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata setiap etnik boleh mempromosi pelancongan negara dengan menonjolkan keunikan kesenian serta kebudayaan masing-masing.

“Misalnya, kita di pihak kementerian sangat mengalu-alukan penganjuran majlis atau aktiviti kebudayaan yang dapat memperkenalkan keunikan budaya etnik masing-masing.

“Semua kaum juga boleh bekerjasama dengan duduk berunding, saling bertukar pandangan dan mencari keunikan kaum untuk ditonjolkan sebagai produk pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Koluk Sengegkun Idahan dan Raya anjuran Persatuan Etnik Idahan Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamaddin yang juga Anggota Parlimen Silam menggalakkan pengusaha pelancongan memanfaatkan Dana Infrastruktur Pelancongan sebanyak RM1 bilion yang dilancarkan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), bagi memajukan perusahaan yang sekali gus akan memperbanyakkan peluang pekerjaan.

Selain itu, beliau turut menyarankan penduduk di negeri ini mempergiat pembuatan kraftangan yang mampu menjana pendapatan tinggi.

“Industri pembuatan kraftangan adalah satu hasil yang baik yang mana Sarawak sebagai contoh telah menjana RM13.6 juta pada bulan Januari sehingga Mac tahun ini melalui hasil kraftangan,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :