Selangorkini
GLOBAL

Muktamad RCEP bentuk kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia

BANGKOK, 23 JUN: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha menggesa ASEAN untuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada tahun ini untuk membentuk kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.

Berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di sini hari ini, pengerusi ASEAN itu menggesa semua negara anggota untuk menegaskan semula keazaman mereka untuk memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan.

“Aspek perlindungan yang mengekang sistem pelbagai hala mengingatkan kita bahawa kita mesti bekerjasama dengan lebih erat antara satu sama lain.

“RCEP akan menjadi kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, dan ia dapat menampan kesan daripada konflik perdagangan yang sedang berlaku antara beberapa rakan dagangan utama ASEAN,” katanya.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian perdagangan bebas itu dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja.

RCEP mempunyai gabungan penduduk berjumlah 3.4 bilion dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bernilai US$49.5 trilion atau 39 peratus daripada KDNK global.

Sementara itu, perdana menteri Thailand yang baru dilantik itu juga menggesa anggota perkumpulan serantau untuk mewujudkan ekonomi digital ASEAN, yang dijangka menambah US$100 bilion lagi kepada KDNK ASEAN pada 2025.

“Ekonomi digital akan dapat memanfaatkan teknologi dan inovasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta mewujudkan peluang ekonomi baharu bagi tenaga kerja mahir, usahawan dan profesional Mikro, Perusahaan Kecil dan Sederhana (MPKS) dan sektor pertanian .

“Adalah penting untuk kita meningkatkan nilai tambah di seluruh rantaian bekalan pertanian, untuk mengurangkan ketaksamaan dan jurang pembangunan.

“Kita juga harus menggunakan Koridor Ekonomi Timur (EEC) dan pendekatan ‘menghubung kesalinghubungan’ di sub-rantau Strategi Kerjasama Ekonomi Ayeyawady-Chao Phraya-Mekong (ACMECS) dan rantau Asia Pasifik dan Indo-Pasifik, ” katanya. – BERNAMA

FOTO KREDIT: FB ASEAN2019


Pengarang :