EKONOMISELANGOR

Makanan miliki sijil halal tingkat potensi pasaran antarabangsa

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Pengusaha makanan di Selangor termasuk yang bukan muslim disaran mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi meningkatkan lagi potensi produk mereka dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Ini kerana, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, kualiti produk yang mempunyai sijil daripada JAKIM memberi keyakinan kepada pengguna dari seluruh dunia.

“Seperti yang kita tahu, industri halal sekarang sedang berkembang pesat. Segala produk pemakanan sekiranya mempunyai sijil halal ianya boleh dipasarkan lebih meluas.

“Keperluan mendapatkan sijil halal ini sangat penting untuk kita tingkatkan lagi mutu dan kualiti produk bagi pasaran lebih besar,” katanya dalam sidang media di ruang legar Bangunan Annex, SUK Negeri Selangor.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, Kerajaan Negeri percaya pasaran produk yang mempunyai sijil halal mampu menyumbang kepada ekonomi negara dalam sakala lebih besar pada masa akan datang.

“Sijil halal Malaysia sangat bernilai kepada produk pemakanan kerana ia sangat menitik beratkan kualiti dan kebersihan untuk seluruh pengguna di dunia supaya mengambil pemakanan halal,” katanya.

Dalam sidang media sama turut dimaklumkan, Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) Klang bakal menganjurkan Taklimat Kaedah-Kaedah Sijil Halal pada Khamis, 20 Jun 2019 di tingkat 2 Bangunan SUK, Negeri Selangor.

Taklimat yang bermula pada jam 10 pagi akan disampaikan oleh Halal Academy dalam Bahasa Malaysia.

Usahawan yang berminat untuk menyertai taklimat itu boleh berhubung dengan Ng Mei Ling (012-3769390) dan tarikh tutup pendaftaran pada Selasa, 18 Jun 2019.


Pengarang :