EKONOMINASIONAL

MATRADE akan teroka prospek di rantau Oceania

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempergiatkan usaha mencari pasaran baharu untuk pengeksport Malaysia dengan meneroka rantau Oceania menerusi Misi Pemecut Eksport (EAM) ke New Zealand dan Fiji dari 23-28 Jun, 2019.

EAM akan disertai oleh 28 syarikat Malaysia yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam sektor seperti perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan, makanan dan minuman, halal, gaya hidup, teknologi maklumat dan komunikasi, produk penjagaan diri dan kosmetik, produk perubatan dan kesihatan, serta jentera dan peralatan.

“Walaupun New Zealand ialah negara pengeksport pertanian, terdapat peluang bagi kita untuk mengeksport produk halal berkualiti tinggi untuk memenuhi permintaan penduduk Islam yang semakin meningkat di sana.

“New Zealand juga menawarkan prospek dalam sektor pembinaan dan kami melihat banyak kemungkinan bagi syarikat Malaysia untuk menyediakan bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan untuk pasaran itu.

“Begitu juga Fiji, terdapat pelbagai peluang untuk syarikat Malaysia. Inilah kali pertama MATRADE menganjurkan misi eksport ke Fiji. Negara itu kini mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.8 peratus setahun, lebih tinggi daripada negara-negara lain di rantau itu, ” kata Pengarah MATRADE bagi ASEAN dan Oceania, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Fiji juga dikenali sebagai hab perdagangan dan pengedaran bagi rantau pulau Pasifik Selatan.

“Pasaran itu menawarkan permintaan tinggi untuk perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan, serta produk gaya hidup seperti perabot yang didorong peningkatan pembangunan infrastruktur dan projek pelancongan yang digariskan dalam pelan ekonomi Kerajaan Fiji,” kata Raja Badrulnizam.

Syarikat Malaysia yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasaran Oceania diminta menghubungi pejabat perdagangan MATRADE di Melbourne melalui e-mel di [email protected] atau mana-mana platform media sosial MATRADE (Facebook, Twitter, Instagram dan LinkedIn). – BERNAMA


Pengarang :