PBT

MPSJ galak sumbang dalam Tabung Amal bantu golongan susah

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 21 JUN : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggalakkan mana-mana pihak swasta, kerajaan atau individu menyumbang ke dalam Tabung Amal MPSJ.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, ia bertujuan untuk membantu golongan B40 di sekitar daerah terbabit daripada segi pendidikan, infrastruktur dan pembangunan modal insan.

“Tabung Amal MPSJ dilihat mampu menjadi saluran program tanggungjawab sosial korporat kepada mana-mana pihak sama ada swasta, kerajaan atau individu yang mahu menyumbang daripada segi kewangan atau komitmen sekiranya mahu menjalankan program di kawasan MPSJ.

“Kami menyediakan pelbagai saluran buat penderma yang ingin menyumbangkan ke Tabung Amal MPSJ ini sama ada secara tunai atau menerusi atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Pelancaran Tabung Amal MPSJ dan Majlis Jamuan Hari Raya MPSJ 2019, di sini, hari ini.

Kepada mereka yang berminat untuk membuat sumbangan boleh melakukannya secara tunai di kaunter perkhidmatan MPSJ atau menggunakan aplikasi QR pay-Maybank dengan memuat turun aplikasi itu, imbas kod QR dan masukkan amaun yang ingin didermakan dan selesaikan pembayaran.

Selain itu, dua kaedah lain pula adalah dengan membuat pindahan wang secara dalam talian atas nama Tabung Amal MPSJ di akaun Maybank, 562366652566 atau penyediaan cek atas nama Tabung Amal MPSJ.

Terdahulu, MPSJ turut mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya 2019 yang dihadiri hampir 2,000 orang terdiri daripada kakitangannya, tetamu jemputan dan orang awam.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang juga mantan Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim, beberapa EXCO Kerajaan Negeri dan Speaker Dewan Negeri, Ng Suee Lim.


Pengarang :