NASIONAL

Orang Asli Kuala Koh pulang semula ke rumah

GUA MUSANG, 16 JUN: Sebilangan besar daripada lebih 100 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di sini yang sebelum ini berpindah ke hutan selepas berlaku masalah penyakit sejak lebih sebulan lepas, mula pulang ke rumah mereka.

Mereka mulai pulang ke rumah asal yang dibina di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sejak dua hari lepas setelah yakin bahawa penyakit itu tidak lagi menular.

Seorang penduduk Orang Asli, Kulim Tebu, 72, berkata dia percaya penyakit itu tidak lagi merebak, malah dia dan penduduk juga sudah boleh mendapatkan kemudahan air bersih yang boleh digunakan sepanjang masa.

Katanya, dia bersama penduduk lain sebelum ini terpaksa berpindah dan tinggal di dalam khemah di kawasan hutan serta pinggir sungai kerana kampung itu telah terputus bekalan air bersih bagi keperluan harian.

“Kami juga rasa lega dapat balik semula ke rumah dan semua kemudahan air bersih sudah disediakan pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Mamat Pokok, 21, pula berkata sebelum ini memang ada keperluan air bersih disediakan tetapi berlaku masalah seperti kerosakan paip yang menyebabkan penduduk terpaksa mencari sumber air sendiri.

Katanya disebabkan itu, penduduk terpaksa membina khemah di tepi sungai bagi memudahkan urusan mendapat air bagi keperluan harian.

“Kami balik semula semalam bersama keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradik selepas semua kemudahan khususnya air bersih disediakan,” katanya.

Mamat berkata agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan perlulah mengambil perhatian setiap masa bagi menyelesaikan segala masalah dihadapi kaumnya.

Penduduk di kampung itu kini berdepan isu dengan dua kematian akibat penyakit radang paru-paru dan 12 lagi kematian yang masih belum disahkan penyakit mereka sejak sebulan lepas.

Selain itu, lebih 100 orang telah menerima rawatan manakala empat dilaporkan masih kritikal iaitu tiga di Hospital Kuala Krai dan seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

-BERNAMA

 


Pengarang :