Selangorkini
NASIONAL

Penerbangan ihsan bawa pesakit kanser Orang Asli

GUA MUSANG, 16 JUN: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan penerbangan ihsan menghantar pesakit kronik wanita Orang Asli ke Hospital Gua Musang (HGM) petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM, Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata penerbangan itu adalah untuk mengambil Roslin Asud, 54, di Pos Bihai di sini, yang menghidap sakit jantung dan kanser leher.

Beliau berkata penerbangan membabitkan kru MI-17-IV berlepas dari Pangkalan Subang pada 2.30 petang dan mendarat di Pos Bihai untuk mengambil pesakit tersebut pada pukul 4 petang.

Katanya, sebaik mengambil pesakit itu, penerbangan berkenaan terus ke Padang Pusat Sivik Gua Musang dan mendarat dengan selamat 4.20 petang untuk dikejar ke HGM dengan ambulans yang disediakan.

“Kita dimaklumkan, pesakit itu sudah lapan hari menderita penyakit itu di rumahnya selain mengalami demam dan muntah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd Farhan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pesakit kronik wanita Orang Asli itu pada 11 pagi daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak sebelum membuat persiapan penerbangan helikopter ke lokasi.

Katanya, masalah utama pesakit yang tinggal di Pos Bihai itu ialah perhubungan jalan darat yang rosak teruk dan sukar dilalui dengan kenderaan untuk dihantar ke hospital.

“Pesakit itu diiringi suaminya, Alut Anjang, 59, dan sepanjang penerbangan berkenaan Roslin dalam keadaan stabil sehingga dibawa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, penerbangan ihsan itu adalah yang ke-17 bagi penyelamatan pesakit kritikal Orang Asli di kampung pedalaman daerah ini sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, sepanjang tahun lepas, sebanyak 40 penerbangan ihsan dilakukan di daerah ini yang bukan sahaja menyelamat pesakit kronik kaum itu tetapi juga mengangkut pelajar Orang Asli yang terkandas kerana jalan rosak. – BERNAMA


Pengarang :