EKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS berikutan sentimen positif yang menyokong pasaran, kata seorang peniaga.

Pada 9.10 pagi, ringgit berada pada 4.1400/1430 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1420/1460 pada Khamis.

Beliau juga berkata pelabur dolar AS juga kekal berhati-hati menjelang mesyuarat penting antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping pada sidang kemuncak G20 di Jepun pada hujung minggu ini.

“Penurunan nilai dolar AS juga disebabkan data bercampur-campur yang dicatatkan ekonomi AS. Tuntutan pengangguran awal meningkat mencecah paras tertingginya dalam tempoh tujuh minggu, yang menunjukkan bahawa kekuatan pasaran buruh negara itu semakin melemah,” katanya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0601/0628 daripada 3.0573/0620 yang dicatatkan semalam dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.8433/8472 daripada 3.8420/8446.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2479/2521 daripada 5.2649/2716 dan naik berbanding euro kepada 4.7072/7122 daripada 4.7115/7165. – BERNAMA


Pengarang :